Official HomePage
of Sawo Matang...







History of Sawo Matang


MASIHKAH KAU INGAT?
Sejarah ringkas 'Sawo Matang'
(dipetik dari 'MASIHKAH KAU INGAT-Sejarah ringkas Sawo Matang'- Sawo Matang Edisi-12)

Masihkah kau ingat, suatu waktu dulu? Sebelum wujudnya satu majalah khas untuk pelajar di luar negara. Waktu sebelum wujudnya 'SAWO MATANG'. Sedar atau tidak, telah 12 edisi majalah ini diterbitkan, sudah 3 tahun masa berlalu. Begitu pantas sekali perjalanan waktu. Dengan bergeraknya jarum jam, maka beralihlah kematangan sesuatu. Kini, 'SAWO MATANG' telah pun matang. Ahli Sidang Redaksi silih berganti. Sesungguhnya, Glasgow tidak perlu risau kerana Glasgow 'dirahmati' dengan kehadiran para pelajar yang berkaliber, berwawasan dan berdaya maju.

Pada Sesi 1993/94, Ketua Cawangan Kelab UMNO Cawangan Glasgow (dimana 'Sawo Matang' bernaung) ketika itu, saudara Mohd Raziff Yusuff, mengarahkan agar satu perubahan kepada bentuk dan jenis aktiviti kelab diambil untuk meningkatkan relevansi kelab kepada keadaan semasa. Salah satu 'revolusi' yang diperkenalkan ialah penerbitan majalah yang diberi nama 'SAWO MATANG' pada 15 Januari 1994. Mungkin ada yang bertanya, "Dari manakah idea asal majalha ini diperolehi?" atau "Siapakah yang bertangungjawab memberikan nama 'SAWO MATANG'?"

Adalah menjadi lumrah bagi pertubuhan-pertubuhan pelajar di United Kingdom untuk mempunyai makalah atau newsletter, tetapi adalah satu perkara yang amat jarang sekali bagi sebuah majalah atau magazine untuk diterbitkan. Kalau ada pun, majalah yang diterbitkan, harganya amat mahal dan cuma dikeluarkan setahun seklai sahaja. Di kalangan cawangan-cawangan Kelab UMNO di United Kingdom, terdapat banyak makalah yang diterbitkan. Misalnya 'JALINAN' (Cardiff dan Pontypridd), 'VISI' (Edinburgh) dan 'ETIKA' (Newcastle-Upon-Tyne). Malah sebuah makalah yang menjadi lidah rasmi Kelab UMNO United Kingdom dan Eire juga diterbitkan dan diberi nama 'GEMPUR'.

Di Glasgow pula, semasa Sesi 1992/93, makalah yang diberi nama 'BERHENTI SEKEJAP' telah diterbitkan. Sayangnya, selepas cuma 2 kali terbitan, penerbitan makalah ini 'berhenti terus'. Peralihan kepimpinan Kelab UMNO Cawangan Glasgow dalam sesi berikutnya, telah membawa perubahan yang ketara apabila Biro Penerangan dan Perhubungan di bawah saudara Azmir Zamri mengambil inisiatif untuk menerbitkan sebuah majalah sebagai 'saluran perhubungan' di antara Kelab dan ahli. Idea asal majalah ini datangnya daripada saudara Mazhazmi Jamaludin, yang kemudiannya menjadi Editor pertama majalah ini (sehingga Edisi-4). Idea asal ini diolah da disesuaikan oleh ahli-ahli Sidang Redaksi yang pertama.

Masalah utama yang dihadapi oleh Sidang Redaksi asal bukanlah berupa konsep atau format. Sebaliknya, masalah yang menjadi belenggu ialah nama majalah yang hendak diberikan ini. Setelah menyenarai dan mendebatkan tidak kurang daripada 50 cadangan, Sidang redaksi akhirnya bersetuju dan berpuas hati (selepas 3 jam bermesyuarat) dengan nama 'SAWO MATANG' - yang dicadangkan oleh saudara Azmir. Seperti kata pepatah orang putih, "And the rest is history�"

Dari saat majalah ini dikeluarkan, Glasgow tidak sunyi dengan nama-nama seperti 'Ateh' dan 'Kelana' yang mejadi kolumnis tetap dari edisi pertama sehingga sekarang. Setipa edisi menampakkan kemajuan dan perubahan ke arah peningkatan kualiti. Bagi Sidang redaksi yang asal, Edisi-4 merupakan edisi yang terbaik - dan terakhir- yang diterbitkan oleh mereka.

Sesi 1994/95 muncul dan menyaksikan pucuk pimpinan Kelab UMNO Glasgow berubah wajah dan saudara Azmir menjadi Ketua Cawangan yang baru. Saudari Zuhaida di dalam kapasiti beliau sebagai Ketua Biro Penerangan dan Perhubungan diamanahkan tanggungjawab untuk meneruskan dan menerbitkan majalah 'SAWO MATANG' ini. Satu tugas yang berat memandangkan imej dan kejayaan majalah ini pada sesi yang lalu. Sidang Redaksi yang kedua banyak menyaksikan 'muka-muka baru'. Hanya saudari Zuhaida dan saudara Shaikh sahaja yang kekal dari sesi sebelumnya. Editor baru bagi majalah 'SAWO MATANG' ialah saudara Ismahalil Aply.

Tugas utama yang dihadapi oleh Sidang Redaksi yang baru ini ialah untuk meningkatkan kualiti penerbitan majalah ini. Apabila edisi kelima 'SAWO MATANG'diterbitkan, dua perubahan disaksikan. Pertama, majalah kini diterbitkan di atas helaian A3 berbanding dengan helaian A4 pada sesi 1993/94. Kedua, kulit hadapan majalah kini direka bentuk mengguna komputer. Tugas mereka bentuk ini dipikul oleh saudara Eddie Abdul Karim. Semasa sesi ini jugalah 'SAWO MATANG' mula dihiasi dengan nama-nama seperti Rob Boroi, Teman dan Cottflo.

Masa berlalu dan sesi 1994/95 berakhir. Sekali lagi kepimpinan Kelab UMNO Cawangan Glasgow berubah. Saudara Mohd Azri faizul dipilih menjadi Ketua Cawanganbagi sesi 1995/96. Dengan bermulanya sesi 1995/96, sekali lagi arus perubahan melanda Sidang Redaksi. Kali ini lebih besar dari dahulu. Saudara Shaikh Mohd Saifuddeen yang merupakan 'veteran' Kelab UMNO Cawangan Glasgow ,memikul tanggungjawab sebagai Editor baru. Beliau memilih satu pasukan yang majoritinya terdiri daripada darah muda. 'SAWO MATANG' diberikan nafas baru dengan tenaga-tenaga yang ada. Di samping saudara Shaikh, terdapat dua lagi muka 'lama' iaitu saudari Zuhaida dan saudara Mohd Redhani Abdul Rahman (dari Sidang Redaksi yang pertama).

Perubahan yang mendadak telah dilakukan oleh Sidang Redaksi yang baru ini. Perubahan ini amat mengejutkan dan kesannya 'SAWO MATANG' bukan sahaja dirasai di Glasgow malah di serata United Kingdom. Buat pertama kalinya, kulit 'SAWO MATANG' dicetak menggunakan warna penuh. Hasil yang diperolehi amat positif sekali. 'SAWO MATANG' dijual seperti pisang goreng. Tempahan dan pujian dari luar Glasgow datang mencurah-curah. Kini, majalah'SAWO MATANG' telah menapak di United Kingdom.

Revolusi yang dilakukan benar-benar membuka mata semua pihak tentang kemampuan sebenar 'SAWO MATANG'. Memang benar, banyak lagi ruang untuk kemajuan. Namun, apa yang telah dicapai oleh majalah 'SAWO MATANG' ini membuktikan kemampuan sebenar Sidang redaksi 'SAWO MATANG'. Kemampuannya untuk bertahan sehingga kini merupakan kenyataan yang tidak dapat dinafikan lagi.

Bagi memastikan wujud kesinambungan di dalam Sidang Redaksi, saudara Shaikh melepaskan jawatan Editor. Mulai Edisi-11, 'SAWO MATANG' dikendalikan oleh dua orang Editor iaitu saudara Saiful Izwan Mohd Shazali dan saudara Nazrul Adlin Md Rosley. Di bawah teraju kedua-dua orang 'satria muda' ini, 'SAWO MATANG' akan terus mencecah era kemajuan yang baru. Di dalam Edisi-11, liputan bagi berita di luar Glasgow telah dibuat. Di samping itu, rancangan untuk meluaskan edaran majalah ini juga sedang dibuat. Khabarnya, 'SAWO MATANG' telah pun diperkenalkan di Australia!

Siapa sangka, satu idea yang dilahirkan 3 tahun yang lalu mampu berkembang menjadi satu 'fenomena' dan 'sensasi' dunia pergerakan pertubuhan pelajar. Sesi 1995/96 kini sedang menuju ke akhirnya. Ke manakah hala tuju 'SAWO MATANG' selepas ini? Adakah kejayaan ini akan berkesinambungan? Sememangnyalah itu yang menjadi harapan semua pihak. Keunikan 'SAWO MATANG' kini terserlah. Banyak tempat menjadikan 'SAWO MATANG' sebagai model dan contoh mereka dalam menerbitkan makalah dan majalah mereka. Sayang sekali kalau 'SAWO MATANG' terberhenti begitu sahaja.

Mungkin jika ini berlaku, kita jangan menanyakan 'mengapa' atau 'bagaimana'. Mungkin soalan yang lebih tepat ialah "Masihkah kau ingat suatu waktu dulu sebelum wujudnya 'SAWO MATANG'?" Kadang-kadang adalah perlu bagi mereka yang tahu untuk mengingatkan mereka yang lupa. Sesuatu yang bernilai seperti 'SAWO MATANG' tidak akan datang berulang kali.

Masihkah kau ingat?

Ed- Artikel ini telah diterbitkan pada 13 November 1996 dalam Edisi-12. Kini 'SAWO MATANG' akan memasuki tahun ke-6 penerbitannya apabila Edisi-17 diterbitkan pada 10 Januari 1999 yang akan datang ini. Sejak tahun 1996, sudah 3 kali Sidang Redaksi berubah ombak. Namun, setiap kali, pasti ada 'orang lama' di dalamnya untuk memastikan kesinambungan. Saudara Saiful Izwan telah menjadi Editor sehingga Edisi-14 dan teraju 'SAWO MATANG' telah berpindah tangan pada tahun 1997. Saudari Nor Elina Noor Shaari pula telah mengambil-alih tugas sebagai Editor, sehinggalah sekarang. Semenjak tahun 1996, peningkatan kualiti 'SAWO MATANG' jelas kelihatan dengan pertambahan grafik serta kemantapan 'layout'. Sesungguhnya, ahli Sidang Redaksi 'SAWO MATANG' tidak jemu untuk mencari dan melakukan pembaharuan bagi setiap edisi yang diterbitkan. Semoga prinsip 'kaizen' ini kekal sebagai amalan Sidang Redaksi sehingga ke akhirnya.

History | Committees | Editions | Sponsors | Other Links

Copyright @ 1998 Sawo Matang Magazine All Rights Reserved
Last Updated : 29th Nov. 1998